Santapan Hati

Saturday, March 31, 2012

Bidadari Dunia - disunting daripada saudara Hilal Asyraf ♥



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum ..

Saya ingin berkongsi sebuah artikel daripada saudara Hilal Asyraf (mungkin anda mengenali dia) tentang wanita. Apa sebenarnya wanita ini diistilahkan? Sila ke bawah JOM :)   

Satu perkara yang sering saya perolehi apabila membuka peluang kepada para wanita mengutarakan soalan adalah, permasalahan dalam percintaan. Pelbagai situasi, tetapi boleh dikatakan majoritinya mempunyai masalah yang sama.
Terlalu mudah membiarkan hati disentuhi.
Saya amat memahami bahawa perempuan biasanya mempunyai jiwa yang lebih lembut berbanding lelaki. Bukanlah penulisan kali ini adalah untuk kita menafikan itu semua. Tetapi adalah untuk mengajak kita membina sebuah kerangka prinsip, pemikiran untuk menggunakan kelembutan itu pada tempat yang sepatutnya.
Bukanlah semua tempat perlu kita lembutkan hati kita.
Dan semestinya, bukanlah di semua tempat perlu kita keraskan jiwa kita.

Merasa diri itu mahal.
Satu saya suka untuk saudari-saudari saya punyai adalah ‘merasakan diri mereka mahal’. Saya sentiasa percaya bahawa perempuan adalah mahal. Maka kerana mahalnya perempuan ini, saya sentiasa memandang bahawa mereka adalah makhluk yang terhormat. Kerana itulah saya yakin, Islam menjaga perempuan pada tahap yang tertinggi sekali.
Pada zaman perempuan banyak menjadi hamba dan simbol seks, Islam adalah yang menyelamatkan maruah wanita dan menjadikan mereka terhormat di sisi lelaki.
Maka semestinya, perempuan sendiri yang perlu memilih. Apakah mahu mengambil jalan kehormat ini, atau mahu kekal menjadi ‘murah’? Kerana jelas, Islam bukan satu agama paksaan. Islam adalah jalan hidup pilihan. Pilih Islam, begini dan beginilah yang perlu diikuti. Kita akan dapat kesannya, balasannya, ganjarannya. Pilih selain Islam, begitu dan begitulah yang akan terjadinya. Kita akan terkena kesannya, akibatnya, balasannya.
Sekiranya memilih untuk hidup dalam penghormatan, maka perlulah merasakan bahawa diri itu terhormat, mahal.
Jangan mudah-mudah sahaja membuka hati untuk semua orang.
Lebih-lebih lagi untuk yang tidak diketahui asal usulnya. Dari alam maya contohnya. Yang suka-suka sahaja mengorat kita di tengah jalan. Yang tidak pun melamar kita dari pintu hadapan(ibu bapa). Jangan.

Maka binalah prinsip yang jelas dalam berperasaan.
Saya menjumpai di dalam hidup ini dua jenis perempuan.
Satu yang terlalu mudah sangat menerima.
Kedua yang terlalu sukar sangat membuka hati.
Kedua-duanya tidak elok. Saya melihat permasalahan ini berpunca daripada tiadanya prinsip yang jelas dalam urusan perasaan. Di sinilah kita perlu melihat semula prinsip kita. Apakah prinsip kita?
Soalan pertama yang perlu ditanya adalah – Apakah kita punya prinsip?
Selepas itu baru kita melihat, bagaimanakah prinsip kita.
Sepatutnya di dalam diri kita, sudah ada penggarisan – lelaki yang bagaimana ingin kita jadikan suami?
Daripada penggarisan itulah kita hanya membuka jiwa kita kepada yang selayaknya. Untuk menjadikan perkara ini realistik, maka janganlah meletakkan level yang terlalu tinggi. Hendak seperti Nabi layaknya, Malaikat contohynya, nyata itu hanya menyukarkan keadaan. Perlu difahami bahawa perkahwinan, rumah tangga itu adalah mutualisme, yakni perlu lengkap melengkapi. Maka letakkanlah level yang sederhana, pada masa yang sama kita juga mempertingkatkan diri kita, akhlak kita, rohani kita, minda kita.
Ciri lelaki sahaja tidak mencukupi. Perlu letakkan di dalam diri kita penggarisan – Maruah Seorang Aku.
Yang ini, letakkanlah di level yang tinggi sedikit. Maruah, semestinya tidak patut diletak rendah.
Maka apakah anda ini bermaruah sekiranya dengan mudah menerima lamaran ‘lelaki soleh’ yang dikenali semata-mata di dalam ‘Facebook’? Tidak. Jangan letakkan level maruah anda sedemikian. Letakkan tinggi lagi. Yang melamar anda mestilah jelas identitinya, bertemu dengan kedua ibu bapa/penjaga anda. Yang jelas latar belakangnya.
Apakah anda ini bermaruah sekiranya membenarkan diri di’test’ terlebih dahulu? Dilayan sudah seperti isteri, kemudian baru berkira-kira hendak diambil sebagai isteri yang sah? Jangan. Sesekali jangan. Letakkanlah level itu tinggi lagi. Yang ingin menjadikan anda isteri mestilah yang ada maruah juga. Bukannya yang senang-senang sorong anak dara orang ke hulu-hilir. Yang ada peribadi. Walau tidak menghafal 30 juzu’ Al-Quran, tidak hari-hari qiamullail, tetapi punya adab dan kesopanan yang baik.
Dan apa yang paling penting, setkanlah juga di dalam diri itu perkara ini – Segala apa berkenaan urusan percintaan dan perkahwinan diri aku, mesti Ibu Bapa aku tahu.
Ya. Ini semua untuk menjaga diri kita dari membuat keputusan yang silap. Bukanlah saya mahu katakan yang ibu bapa 100% betul. Tetapi bila adanya pandangan daripada yang lebih tua, kita akan dapat satu pandangan lain untuk menimbang pandangan-pandangan kita. Kita tidak pernah tahu bila kita akan terlalu mengikut perasaan sangat.
Begitulah. Saya melihat, saudari-saudari saya perlu mempunyai perkara ini. Untuk menjaga diri anda juga agar tidak terjebak dengan sebarang penipuan, sebarang keburukan, dosa dan maksiat.
Memandangkan hati kita ini lembut, maka semestinya perlukan penjagaan yang rapi, bukan?
Maka inilah dia penjagaannya.
Perlu ada prinsip yang jelas.
Gariskan prinsip anda.
Jangan terlalu mudah menerima!

Tetapi jangan sampai terlalu ekstrem.
Biasa melihat perempuan yang meletakkan bakal suaminya mestilah yang rajin qiamullail, yang hafal 30 juzu’ Al-Quran, dan sebagainya?
Saya tidak mahulah kata ini nasihat saya, tetapi apa yang saya bakal nyatakan ini adalah nasihat daripada bapa saya. Dahulu, saya juga begitu. Mahu isteri yang hafal Al-Quran 30 juzu’, mahu yang mengaji agama dan sebagainya. Tetapi bapa saya menasihati saya:
“Jangan letak level tinggi sangat. Bersederhanalah.”
Ya. Bersederhanalah. Ketahuilah bahawa di dunia ini tiada yang sempurna sebenarnya. Saya sentiasa berfikir akan nasihat bapa saya itu, dan saya dapat menyelami kebenarannya.
Sekiranya kita mampu bersederhana dalam meletakkan level bakal pasangan kita, insyaAllah kita mampu bahagia. Kerana, bila level yang kita letakkan itu sederhana, maka apabila dia ‘lebih’ baik, itu sudah jadi bonus buat kita. Sekiranya dia nanti ‘ada’ kelemahan, maka kita nyata telah bersedia kerana kita letakkan level yang sederhana untuknya sebelum ini.
Tetapi, sekiranya kita letakkan level yang terlalu tinggi, hendak dapat pasangan pun belum tentu. Keduanya, manusia ini nyata akan ada cacatnya. Nanti bila kita nampak kecacatannya, kita akan rasa – ini bukan macam yang aku mahu! Dan seterusnya akan membawa kepada masalah dalam rumah tangga pula.
Maka, prinsip kita, janganlah sampai terlalu ekstrem.
Sederhana.
Biar sesuai dengan realitinya sebuah dunia.

Penutup: Biar keimanan memandu perasaan.
Sebab itu akhirnya, saya menyeru kepada saudari-saudari saya agar perkukuhkan kefahaman berkenaan agama Allah SWT. Sentiasalah bersama-sama dengan wanita solehah yang anda kenali. Duduklah di dalam suasana yang membawa hati dan diri itu lebih mendekati Allah SWT.
Dari situ, anda akan dapat menghayati kehidupan ini dan mempunyai prinsip yang jelas.
Hingga apabila sampai waktunya untuk anda membuat pilihan, sampai masanya ada yang melamar anda, sampai ketikanya ada yang ingin mendekati anda, menyentuh jiwa anda, maka anda punya prinsip itu untuk menjaga anda di atas jalan yang selamat.
Anda akan sentiasa pulang kepada Allah SWT, sebelum membuat keputusan. Cinta anda, perasaan anda, dipandu keimanan. Barulah ketika ini istikharah itu terasa berkesan, doa itu terasa berfungsi, dan rintihan anda kepada Ilahi itu terasa didengari.
Saya sentiasa melihat, perempuan itu mahal.
Tetapi apalah yang saya boleh lakukan?
Solusinya, perempuan sendirilah yang perlu merasa dirinya mahal. Perempuan sendirilah yang perlu menjaga diri mereka.
Saya, seorang lelaki ini, hanya mampu memberikan pandangan dan idea semata-mata.
Janganlah terlalu lembik. Binalah kekuatan.
Janganlah terlalu ekstrem. Binalah kesederhanaan.
Semoga saudari-saudari saya lebih terjaga, lebih bahagia.
InsyaAllah.
Mari Menjadi Hamba, wahai bidadari dunia!

By: Hilal Asyraf - Langit Ilahi -

No comments:

Post a Comment